Salam Pengakap,
Ramai yang bertanya berkenaan yuran tahunan pengakap yang naik tinggi.
Dari RM3.00 naik ke RM7.00
Dengan berat hati yuran terpaksa dinaikkan untuk menampung perbelanjaan keahlian. RM3
untuk bayaran keahlian WOSM dan RM2 selebihnya untuk kos kad keahlian dan wang khairat
kemalangan. RM2 masih untuk PPM Negeri.
Memang susah nak terima, ibu bapa dah dibebani dengan segala macam kenaikan
kos sara hidup, kena bayar pulak yuran pengakap yang tinggi. Pemimpin yang selama ini
'belanja' tolong bayar yuran anak-anak pengakap di bawah mereka, tentunya amat terasa
dengan kenaikan RM5 ni. Tak mampu nak belanja dah..
Tapi kita perlu semua pengakap kita berdaftar dengan WOSM, supaya semua boleh
bersama menyertai aktiviti peringkat antarabangsa. Keantarabangsaan inilah kekuatan
Pengakap jika nak dibandingkan dengan kegiatan beruniform lain. Kegiatan Pengakap
dah terbukti berkesan dalam menyampaikan ilmu menerusi kaedah pembelajaran bukan formal.
Berkemah bukan hanya belajar macamana nak pasang kemah dan memasak, tapi lebih dari itu.
Berkemah mengajar pengakap bagaimana nak berinteraksi dengan rakan sebaya yang lain,
malah dengan pemimpin yang lebih tua juga. Sama-sama susah dalam satu patrol akan
membuatkan pengakap kreatif dalam mencari penyelesaian.
Belajar simpulan bukan hanya untuk guna bila mengikat, tapi lebih dari itu. Cara membuat
simpul buku sila bukan satu cara tapi banyak. Sebelum mula mengikat dah terbayang
macamana bila jadi nanti. Hati, fikiran dan semua deria kognitif, afektif dan psikomotor tertumpu
kepada tali yang akan menjadi simpulan yang dikehendaki. Secara tersirat, simpulan melatih
Pengakap berfikir secara lateral, di luar kotak dan juga kadang-kadang tak ada kotak lansung.
Menyanyi bukan mengajar Pengakap jadi tak malu, tetapi menjadi malu bertempat.
Menjadi yakin dengan kemampuan diri sendiri bila berhadapan dengan khalayak.
Menjadi ketua patrol bukan mengajar macamana nak memerintah tapi macamana nak meminpin.
Pertukaran ketua patrol mengajar patuh kepada ketua walaupun sebelum ini kita yang menjadi ketua.
Semua ini ada dalam pengakap dengan bimbingan pemimpin yang juga dilatih untuk memimpin
dengan kursus-kursus manikayu dan sebagainya. Yakin bahawa pengakap itu akan mengajar
ilmu yang tidak diajar dalam pembelajaran formal di sekolah. Dan ilmu ini akan dapat kepada
Pengakap itu sendiri.
Jadi, letakkan tanggungjawab membayar yuran ini kepada Pengakap dan bukan kepada
ibubapa atau pemimpin. Minta semua murid yang ingin menjadi Pengakap untuk kumpul duit sendiri.
Pendaftaran akan tutup akhir bulan 3. Masih ada dua bulan lebih lagi untuk mengumpul duit.
Kalau sebulan ada 24 hari bersekolah, sehari kumpul 20 sen. Dua bulan dah dapat RM9.60.
RM7 bayar yuran, lebih tu boleh terus kumpul untuk bayaran jamboree dan sebagainya nanti.
Berjimat cermat itu kan satu dari undang-undang pengakap. Mari jadikan cabaran
kenaikan yuran ini satu cara pembelajaran bukan formal bagaimana untuk menabung,
bagaimana mendisiplinkan diri dalam berbelanja dan mengajar kita teguh berusaha mengejar cita-cita.
Jangan kecewa dengan kenaikan yuran kerana yang dibayar itu InsyaAllah berbaloi.
- Dato' Zakran Abdul Manan
1 comment: